Azimphoto: Pengetahuan dan kemahiran untuk mencapai matlamat dan objektif pasukan.

.

Pengetahuan dan kemahiran untuk mencapai matlamat dan objektif pasukan.



Pasukan memerlukan kemahiran yang luas dan pelbagai untuk mencapai matlamat dan objektif pasukan. Sebagai ahli di dalam pasukan, anda akan dapat membantu pasukan berfungsi dengan efektif melalui sumbangan dalam bentuk :
                                                                   i.    kemahiran teknikal;
                            ii.    kemahiran pengurusan dan penyelesaian masalah; serta
                          iii.    kemahiran antara perseorangan (interpersonal)
            
Kita boleh membentuk dan memperbaiki kemahiran melalui beberapa kaedah seperti :
                             i.    menjalankan kerja dengan sendiri;
                            ii.    menjalankan kerja di bawah pengawasan orang lain;
                          iii.    dengan membaca;
                          iv.    dengan memerhati bagaimana orang lain menjalankannya;
      v.    dengan mengingati kembali tentang bagaimana kita telah menjalankannya dahulu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengetahuan adalah asas bagi mencapai kemahiran. Tanpa ilmu pengetahuan seseorang itu tidak dapat menjiwai kerja yang sedang dibuatnya. Seseorang pekerja itu perlu tahu mengapa dia melakukan pekerjaan itu. Seseorang itu tidak boleh dianggap profesional jika setiap hari dia bekerja seperti robot.

Seseorang pekerja yang mempunyai ilmu asas yang diperolehi semasa di sekolah, maktab atau universiti akan mendalami kemahirannya apabila dia mula bekerja. Satu ketika nanti, kemahirannya akan mencapai tahap maksima bersesuaian dengan pengetahuan yang dimiliki. Oleh yang demikian dia perlu mempertingkatkan lagi pengetahuan dan kemahirannya supaya mutu kerjanya bertambah baik. Ini boleh dilaksanakan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Secara langsung adalah seperti menghadiri kursus, bengkel, seminar dan lain-lain lagi, manakala secara tidak langsung adalah seperti melibatkan diri dalam aktiviti jabatan iaitu jawatankuasa Hari Q, projek penyelidikan dan lain-lain.

Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi perlu dipraktikkan, jika tidak ianya tidak berguna. Untuk menjadikan  ilmu yang diperolehi berkekalan di dalam dada, ilmu itu  perlu diajar kepada orang lain. Hanya dengan mengajar kepada orang lain kita akan ingat lama. Jangan jadi seperti sesetengah guru silat yang tidak mahu mengajar satu dua ilmu kepada murid kerana takut muridnya nanti akan ‘lawan tauke’. Ilmu yang di ‘simpan’ lambat laun akan luput dari ingatan.

Ilmu juga perlu senantiasa ditambah, bak kata orang, “kalau perut lapar, makan, kalau otak lapar….. tambah ilmu”. Seorang yang profesional perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuannya memandangkan perubahan dunia era ini terlalu dinamik. Kita mesti ingat, kita hanya perlu mencari pengetahuan yang relevan dan bersesuaian saja, khususnya untuk memenuhi kehendak pelanggan.

Pembelajaran merupakan suatu proses yang berterusan. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa kita sentiasa berpengetahuan dan mahir di dalam menjalankan tugas harian. Jika tidak, ada orang yang akan menderita di atas kesilapan kita.


Kreativiti dan inovasi

Seseorang itu boleh dikatakan kreatif jika dia boleh menjana perkara-perkara yang baru. Inovasi pula adalah idea-idea baru dalam semua aspek untuk menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.

Kita sentiasa mengatakan bahawa kita bukanlah seorang yang kreatif. Adakah ini benar? Sebenarnya tidak semua orang menyedari bahawa mereka mempunyai tahap kreativiti yang tinggi. Semua orang kreatif samada di sedari atau tidak. Semasa kecil, kita sememangnya semula jadi kreatif. Apabila membesar dan menjadi dewasa, kita sering dicegah jangan buat itu ….. jangan buat ini. Ibubapa kita sering melarang kita supaya jangan panjat pokok atau jangan conteng dinding dan sebagainya. Apabila bekerja, kita juga dikehendaki mematuhi peraturan. Ini boleh menyekat daya kreativiti.

Kreativiti adalah proses yang ditemui atau dijumpai. Melalui fikiran yang terbuka (minda) sahaja barulah kita dapat berfikir samada setiap penerimaan atau perjumpaan tersebut adalah bernilai. Kreativiti tidaklah dijumpai secara tidak sengaja. Sebenarnya ia sudah berada di situ. Cuma kita tidak prihatin, tidak melihatnya, tidak menilai dari segi komersial dan kepentingannya.

Kreativiti ini digalakkan oleh sikap yang terbuka. Kita sentiasa berfikir bahawa kreativiti ini adalah mempunyai idea-idea yang hebat, idea-idea yang datang seperti nilai, ‘aha’ tetapi sebenarnya ia melibatkan perkara–perkara yang lebih jauh daripada itu. Selain daripada itu ia melibatkan banyak pemikiran samada secara sedar ataupun tidak sedar. Sebelum sesuatu inspirasi itu timbul, idea-idea baru perlulah diekspresikan. Oleh itu ia perlu diberi lebih ruang di mana ia mungkin memakan masa dan memerlukan penglibatan kerja yang bersungguh-sungguh.

Dalam ertikata yang lain bahawa kreativiti sebenarnya adalah belajar melihat sesuatu benda itu dengan mata yang baru. Itu adalah petikan daripada seorang genius seperti Dr. Marcel Proust dalam tahun 1899. Beliau merupakan seorang saintis dan juga ahli dalam kreativiti di mana beliau percaya bahawa kita perlu melihat sesuatu perkara tersebut bukan sahaja kepada satu skop atau ‘angle’ tetapi melihat sesuatu masalah tersebut dari pelbagai bidang, barulah kita dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan melihatnya dari perspektif yang berbeza. Apabila kita dapat mengenalpasti sesuatu masalah itu maka kita perlu menilainya daripada banyak segi sebelum memikirkan tentang jawapannya.

Kita semua, kadangkala mendapat inspirasi atau ilham bagi sesuatu perkara atau menyelesaikan sesuatu masalah. Perkara ini tidak selalu berlaku kepada orang biasa macam kita. Oleh itu kita perlu belajar bagaimana menjadi kreatif. Berikut ada beberapa teknik :

(i)          Mind mapping;
(ii)         Random responses;
(iii)        Group Creativity.

Pasukan perlu lebih kreatif untuk mengurus perubahan dan mengadakan persaingan. Semua ahli dalam pasukan boleh menjadi kreatif dan inovatif dengan:
                     i.        menerapkan perasaan ingin tahu dan berfikiran luas;
                    ii.        mempunyai ketua yang sentiasa memberi sokongan;
                  iii.        mempunyai peraturan dan garis panduan yang fleksibel;
                  iv.        bersemangat cekal serta tidak putus asa apabila berhadapan dengan cabaran/dugaan;
                   v.        diberi penghargaan dan pengiktirafan.
       
Sebagai ahli dalam pasukan, kita harus sedar dan perlu mengatasi beberapa rintangan/halangan kreativiti seperti :
                     i.        perasaan takut terhadap kegagalan atau ke atas sesuatu yang tidak pasti;
                    ii.        takut akan dikritik;
                  iii.        kritikan yang tidak membina;
                  iv.        terlalu menjaga kepentingan diri sendiri;
                   v.        takut akan kerja-kerja tambahan;
                  vi.        komunikasi satu arah;
                vii.        perlunya mematuhi arahan/peraturan.

Kerjasama dalam pasukan dan kesepakatan.

Kerjasama adalah bekerja bersama-sama untuk mencapai matlamat yang dikongsi bersama di samping memperolehi faedah bersama.

Terdapat banyak pasukan di dalam agensi kerajaan dan swasta dimana pasukan-pasukan ini bergantung antara satu sama lain. Kerjasama dalam satu pasukan mudah diwujudkan tetapi kerjasama antara satu pasukan dengan pasukan yang lain selalunya sukar. Ini adalah kerana setiap pasukan mempunyai ketua yang berlainan. Ketua-ketua ini mempunyai agenda yang berlainan. Sekiranya ketua-ketua ini tidak sehaluan, maka  pasukan-pasukan ini tentunya tidak dapat bekerjasama.

Kita mesti sedar bahawa kita bukan bekerja semata-mata untuk pasukan tersebut, tetapi kita bekerja untuk organisasi tersebut. Walaupun pasukan tersebut telah menunjukkan prestasi yang cemerlang, tetapi organisasinya telah merosot, orang luar akan mengatakan anggota-anggota di situ tidak bagus (termasuk mereka yang cemerlang). Oleh yang demikian, setiap pasukan di dalam satu organisasi mesti bantu membantu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi.


Organisasi tersebut juga tidak bekerja bersendirian, ia bergantung kepada organisasi lain di dalam organisasi berkenaan. Sehubungan itu setiap organisasi mesti bantu membantu di dalam meningkatkan imej organisasi. Jika satu pejabat telah mendapat malu, orang ramai akan beranggapan bahawa pejabat atau cawangan lain di bawah agensi atau firma berkenaan lebih kurang sama sahaja.

No comments:

Post a Comment