Budaya kita mempunyai beberapa perkara dan perlakuan yang
menunjukkan tanda hormat pada orang lain. Sebagai contoh, sejak kecil, kita
diasuh tentang cara dan perkataan yang boleh digunakan untuk memanggil dan
berinteraksi dengan orang lain secara hormat. Kita juga mendidik anak-anak kita
tentang norma masyarakat. Semuanya ini adalah etiket sosial.
Salah satu etiket sosial yang perlu diamalkan semasa
menjalankan tugas ialah cara kita memanggil pelanggan dan cara kita menyapa
orang lain apabila bertemu. Dengan berpandukan kepada umur dan perawakan
pelanggan, panggilan adik, saudara, kakak, mak cik, puan, encik atau sir dapat menunjukkan kemesraan dan
tanda hormat. Juga dengan berpandukan masa pada waktu itu, ucapan selamat pagi,
selamat tengah hari dan selamat petang dapat menunjukkan tanda hormat
menghormati. Bagi orang-orang Islam, mengucapkan salam adalah amalan yang
paling baik.
Satu lagi etiket yang yang patut kita amalkan untuk
menunjukkan tanda hormat ialah dengan memanggil nama pelanggan secara lembut.
Kajian-kajian mendapati bahawa manusia amat responsif kepada nama
masing-masing. Di samping itu, cuba kita sebutkan nama pelanggan/pesakit dengan
betul. Amat baik jika kita memanggil pelanggan serta namanya dengan cara biasa
supaya perlakuan kita itu nampak mesra, jujur dan penuh hormat.
Kerja
Berpasukan
Amalan perkhidmatan penyayang banyak melibatkan interaksi
antara anggota kesihatan dengan pelanggan. Mengamalkan nilai ini saja tidak
mencukupi kerana di dalam menjalankan satu kerja, ianya melibatkan banyak
tugas-tugas kecil. Tugas-tugas ini mungkin dijalankan oleh anggota yang
berlainan. Oleh itu anggota-anggota perlu bekerjasama dalam melaksanakan
sesuatu kerja. Kerja berpasukan bermaksud bekerja
bersama dengan harmoni bagi mencapai matlamat yang sama.
Apakah
faedah yang boleh anda perolehi melalui kerja berpasukan?
Bekerja bersama-sama di dalam pasukan bagi mencapai
kejayaan mempunyai beberapa faedah kepada individu di mana :
Ø Tekanan kerja adalah kurang.
Ø Tanggungjawab dikongsi bersama.
Ø Pengetahuan dan kemahiran dapat dipertingkatkan.
Ø
Perasaan
harga diri dapat dipupuk.
Ø
Kejayaan
dan kegagalan dapat dikongsi bersama.
Ø
Ahli-ahli
dalam pasukan dapat belajar di antara satu sama lain.
Ø
Setiap
ahli mempunyai semangat kekitaan.
Ø
Bekerja
bersama dalam pasukan adalah menyeronokkan.
Kerja berpasukan adalah lebih berkesan sekiranya
elemen-elemen serta proses kerja berpasukan difahami dan dilaksanakan. Lapan elemen dalam kerja berpasukan adalah :
1. Bersatu menuju matlamat
2. Perasaan kekitaan
3. Kepimpinan
4. Saling mempercayai
5. Akauntabiliti
6. Pengetahuan dan kemahiran
7. Kreativiti/Inovasi
8. Kerjasama dalam pasukan dan kesepakatan
Bersatu menuju matlamat
Dalam sesuatu organisasi, sekiranya setiap anggota mempunyai
matlamat yang berbeza, organisasi tersebut pasti tidak akan dapat mencapai
objektifnya. Oleh itu setiap organisasi perlu mewujudkan matlamat dan objektif
yang dikehendaki dan menyebarkan kepada semua anggota. Apa yang mustahak
bukanlah penyebarannya saja tetapi memahami matlamat dan objektif tersebut.
Masalah yang selalu kita hadapi adalah kita tidak ingat akan objektif jabatan.
Sebagai contoh, cuba anda senaraikan objektif-objektif jabatan anda. Tentu anda
tidak ingat kerana sudah lama tidak mengulanginya. Tambahan pula, ada kerja
yang anda buat adalah ad-hoc dan
tidak tersenarai dalam objektif.
Setiap ahli dalam pasukan boleh bersatu menuju matlamat
sekiranya matlamat dan objektif yang hendak dicapai disampaikan dan difahami
oleh semua ahli di dalam pasukan.
Bagaimana boleh kita sentiasa bersatu menuju matlamat?
Pertama, dari masa ke semasa, ketua jabatan perlu mengingatkan kembali tentang
matlamat dan objektif-objektif jabatan. Ini dapat dilakukan semasa perhimpunan
bulanan atau mesyuarat ketua-ketua unit. Kedua, penilaian objektif jabatan
hendaklah dilakukan lebih kerap, jangan tunggu sehingga akhir tahun.
Sekurang-kurangnya penilaian ini dilakukan dua kali setahun. Ketiga, setiap
anggota termasuk anda sendiri, apabila ingin memulakan tugas, perlu berfikir
samada kerja yang anda lakukan ini ada berkaitan dengan objektif jabatan atau
tidak.
Perasaan kekitaan
Perasaan kekitaan lahir daripada seseorang individu yang
merasakan dirinya ada kaitan dengan sesuatu tempat atau organisasi. Rakyat
Malaysia sepatutnya mempunyai perasaan cintai Malaysia kerana Malaysia adalah
tanahairnya. Begitu juga dengan seorang pekerja yang telah lama berkhidmat
dengan sesuatu organisasi. Beliau berasa bangga dengan organisasinya lalu
menghebahkan kepada orang ramai. Walaubagaimanapun, sekiranya organisasi
tersebut mendapat malu atau dipandang rendah oleh masyarakat, pekerja tersebut
seboleh-bolehnya cuba merahsiakan perkara tersebut atau tidak mahu dikaitkan
dirinya dengan organisasi itu.
Setiap ahli dalam pasukan berkongsi identiti yang sama dan
ini dapat memperkayakan perasaan kekitaan. Perasaan kekitaan pula meningkatkan
komitmen ahli pasukan. Komitmen kepada pasukan menggalakkan perasaan kepunyaan
dan menghasilkan sikap perkongsian. Perasaan kekitaan boleh dipertingkatkan
dengan memberi penekanan bahawa :
·
Setiap ahli boleh memberi
sumbangan dan mempunyai peranan yang perlu dimainkan;
·
Setiap
ahli adalah merupakan aset kepada pasukan;
·
Kepelbagaian
di dalam pasukan tidak menghalang semangat bersatu.
Perasaan kekitaan boleh diperkuatkan dengan mengadakan
pakaian seragam dan logo. Pakaian seragam adalah
bergantung kepada jenis pekerjaan. Selain itu, setengah agensi/jabatan ada juga
mempunyai pakaian tidak formal iaitu pakaian batik.
Bagaimanakah anda boleh menanamkan perasaan kekitaan di
dalam diri anda? Pertama, anda perlu yakin bahawa anda adalah seorang anggota bekerja. Kedua, anda harus percaya bahawa tugas anda adalah murni
iaitu membantu orang lain yang memerlukan bantuan terutamanya pesakit, sama ada
secara langsung atau tidak langsung. Ketiga, anda mesti memaksa diri anda suka
memakai pakaian seragam yang berkaitan dengan pekerjaan anda. Keempat, anda
bekerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan imej jabatan anda.
Kepimpinan
Kepimpinan bererti berupaya merangsang penghasilan yang
terbaik dari seseorang serta boleh memberi panduan bagi mencapai matlamat yang
sama. Kepimpinan yang berkesan adalah perlu bagi memastikan komitmen ahli dan
menentukan arah tujuan untuk mendapatkan hasil.
Setiap seorang daripada kita adalah pemimpin walaupun kita
hanya merupakan atendan hospital. Seorang pengarah jabatan tentu mempunyai
ramai anggota yang perlu dipimpin sementara pembantu pejabat mempunyai anak
isteri yang perlu dipimpin. Oleh yang demikian, setiap orang adalah
bertanggungjawab ke atas siapa yang mereka pimpin. Ini bermakna seorang ketua
perlu bertanggungjawab jika telah memberi arahan yang salah kepada anggotanya.
Bagaimanakah kita boleh menjadi seorang pemimpin yang baik?
Yang pertama dan paling penting adalah
sikap bertanggungjawab. Sebagai satu analogi, kita mengangkat hujung sebatang
kayu, hujung yang satu lagi akan terangkat juga. Ini bermakna setiap tindakan
yang kita ambil akan menghasilkan akibatnya. Oleh itu seorang pemimpin mesti
bertanggungjawab di atas segala akibat yang terhasil sama ada positif ataupun
negatif.
Sifat kedua
yang penting bagi seseorang pemimpin
adalah untuk mempengaruhi orang lain. Bukan mudah untuk mempengaruhi seseorang.
Secara ringkasnya, kita perlu menyelam ke dalam hati untuk mengetahui apakah
kehendaknya. Jika apa yang ingin kita kemukakan kepadanya adalah selaras dengan
kehendaknya, dia akan menerima apa yang kita kehendaki. Walau bagaimanapun ia
bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh yang demikian, kalau kita ingin mempengaruhi
orang lain, cuba langkah-langkah berikut:
•
i)
Dipercayai ramai
•
ii)
Memahami hati orang (empati)
•
iii) Memahami kehendak
orang
•
iv) Memberitahu faedah yang
akan diperolehi
Sifat ketiga
adalah berpengetahuan terutamanya tentang matlamat pasukan. Pengetahuan dan
kemahiran akan dibincangkan kemudian.
Saling mempercayai
Sifat percaya
bererti mempunyai keyakinan ke atas kewibawaan dan keupayaan ahli-ahli dalam
pasukan. Kepercayaan adalah asas pembinaan pasukan. Sikap mempercayai adalah
perlu untuk kerjasama yang berpanjangan. Tanpa kepercayaan, konflik akan
berlaku.
Bagaimana anda boleh melahirkan sifat saling mempercayai di
antara satu sama lain di dalam pasukan anda? Terlebih dahulu, anda harus mempamerkan sifat ini.
Bagaimana harus dilakukan? Cuba anda bayangkan jika semua emosi boleh disimpan
di dalam sebuah bank. Jika banyak emosi
yang kita simpan di dalam bank, maka semakin bertambah jumlah emosi di dalam
akaun kita. Jika kita keluarkan emosi dari bank, maka berkuranglah jumlah emosi
kita di dalam akaun. Begitu juga dengan sifat saling mempercayai. Kalau kita
selalu membuat perkara baik atau tidak pernah bercakap bohong terhadap orang
lain, orang akan percaya kepada kita. Tetapi apabila kita melakukan sesuatu
yang tidak baik kepada orang lain, mereka mula kurang percaya kepada kita. Jika
kita selalu melakukan yang tidak baik, maka kepercayaan mereka terhadap anda
akan hilang. Sehubungan itu, untuk mempamerkan sifat saling mempercayai, anda
perlu memperolehi kepercayaan daripada orang lain dengan melakukan
perkara-perkara yang baik terhadap mereka.
Akauntabiliti
Akauntabiliti
merangkumi sikap bertanggungjawab setiap
ahli atas kejayaan atau kegagalan
pasukan. Setiap ahli bertanggungjawab ke atas semua sumbangan kepada pasukan,
samada sumbangan individu atau sumbangan bersama.
Akauntabiliti di dalam konteks budaya korporat bukan sekadar bertanggungjawab, tetapi termasuk
juga tindakan yang diambil bagi membetulkan keadaan.
Jika seseorang itu ingin mempunyai sifat akauntabiliti,
beliau terlebih dulu perlu bersikap bertanggungjawab. Kita selalunya akan
bersikap bertanggungjawab sekiranya perkara tersebut adalah peribadi. Tetapi
sekiranya perkara tersebut berkaitan dengan urusan pejabat, masing-masing cuba
melepaskan diri atau cuba meletakkan kesalahan ke atas orang lain. Tiada siapa
yang ingin bertanggungjawab. Akhirnya perkara ini dibiarkan begitu sahaja
sehinggalah ada orang membuat aduan ataupun ia telah menjadi isu besar.
Perkara di atas boleh dicegah sekiranya setiap ahli adalah
pasukan yang bertanggungjawab di atas kesilapan yang telah berlaku. Tidak
semestinya seorang ketua sahaja yang mesti bertanggungjawab kerana setiap ahli
pun sedikit sebanyak terlibat juga. Oleh itu semua ahli mesti mempunyai sifat
bertanggungjawab.
Sekiranya anda telah
mengambil tindakan bagi memperbetulkan keadaan, anda bukan sahaja seorang yang
bertanggungjawab tetapi telah menonjolkan sifat akauntabiliti. Lakukan perkara
di atas bagi setiap situasi yang anda hadapi, anda akan dapati anda akan
menjadi seorang yang matang dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment