Azimphoto

.

Profesionalisme

  
Profesionalisme bermaksud melakukan sesuatu tugas dengan penuh komitmen, disiplin dan dengan cara yang terbaik mengikut etika dan taraf kerja yang dikehendaki.

Lima perkara penting di dalam definisi profesionalisme adalah (i) komitmen, (ii) disiplin, (iii) cara yang terbaik, (iv) etika kerja dan (v) taraf kerja.  Oleh yang demikian, boleh dianggapkan bahawa seseorang itu boleh dianggap profesional apabila beliau komited terhadap kerjanya dan selalu mendisiplinkan dirinya.  Di samping menghasilkan kerja yang berkualiti, beliau sentiasa menggunakan kaedah yang terbaik dengan menjimatkan kos, masa dan tenaga kerja.  Beliau tidak sekali-kali menghasilkan kerja yang berkualiti yakni ke taraf kerja yang dikehendaki tanpa mengikut etika.  Sehubungan itu kelima-lima perkara penting ini boleh dijadikan sebagai elemen kepada profesionalisme dan akan dibincangkan dengan lebih terperinci.  Oleh itu elemen profesionalisme adalah:
(i)          Komitmen
(ii)         Disiplin
(iii)        Cara yang terbaik
(iv)       Etika kerja
(v)        Taraf kerja.

Komitmen

Komitmen boleh diertikan apabila seseorang itu bekerja dengan kesungguhan dan penuh keyakinan.  Seseorang yang komited itu selalunya seorang yang proaktif, iaitu mempunyai kebolehan menjangka dan mengambil langkah awalan sebelum sesuatu yang tidak baik berlaku.  Pengertian proaktif telah dihuraikan dengan jelas dalam nilai Perkhidmatan Penyayang.  Apa yang dimaksudkan dengan kesungguhan adalah ketekunan dan dedikasi dalam menjalankan tugas.  Manakala keyakinan pula adalah beliau tidak perlu diselia atau memohon bantuan dalam melaksanakan tugas.

Jikalau anda membuat analisa di tempat kerja, terdapat banyak anggota yang tidak komited dengan kerjanya, termasuk diri anda. Kenapa ini boleh berlaku?
(i)          Kemungkinan sudah tidak ada motivasi lagi. Kerja dianggap perkara ‘routine’ yang perlu dilakukan untuk mendapat gaji setiap bulan. Kemungkinan ada perkara lain di dalam hidupnya yang perlu diperolehi, yang kini menjadi motivasi utamanya.

(ii)           Kadangkala suasana di tempat kerja yang tidak menyenangkan, seperti takut dengan boss atau suka bergaduh dengan staf lain.
(iii     Kekurangan sumber yang sekian lama anda pohon tidak diluluskan. Tiada peralatan yang mencukupi dan tenaga kerja yang kurang.
(iv)       Bebanan kerja yang terlalu banyak
(v)        Kebanyakan staf bekerja kerana untuk mendapat imbuhan tambahan. Bila tiada imbuhan, maka mereka kurang rajin.


Sehubungan itu, berikut adalah perkara penting untuk memupuk komitmen di tempat kerja:

(i)          Komunikasi berkesan
(ii)         Empower staf
(iii)        Perkembangan anggota
(iv)       Pengiktirafan
(v)        Persekitaran yang kondusif.

Perkara pokok dalam memupuk komitmen di kalangan anggota adalah komunikasi.  Seorang ketua perlu berinteraksi dengan anggota untuk memberitahu wawasan dan objektif jabatan.  Di samping itu interaksi sebegini juga akan membolehkan beliau untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh pekerja di dalam menjalankan tugas.  Melalui cara ini, seorang ketua boleh memastikan bahawa tugas-tugas yang dijalankan adalah sehaluan dengan objektif jabatan. Staff yang bermasalah boleh dihantar berkursus atau menghadiri sessi kaunselling. Perbincangan perlu diadakan untuk mengetahui masalah yang dihadapi dan juga perkara yang boleh meningkatkan motivasi mereka, termasuklah ‘career development’ dan ‘promotion’.

Apabila setiap anggota tahu bahawa tugas mereka adalah untuk mencapai objektif jabatan, ketua harus melibatkan diri mereka bukan saja dari segi pelaksanaan tetapi juga perancangan. Segala pendapat dan cadangan mereka mestilah diambilkira dalam merangka strategi pelaksanaan sesuatu aktiviti.  Di samping ini juga ketua perlu memberi penugasan sepenuhnya (empower) kepada anggota yang difikirkan berkemampuan. Bagi mereka yang telah mencapai lebih daripada yang dikehendaki, pengiktirafan perlu diberi.

Akhir sekali, pastikan persekitaran tempat kerja adalah kondusif.  Selain daripada menyediakan peralatan kerja, anda perlu memastikan bahawa suasana kerja selesa dan bebas daripada gangguan.  Keselamatan dan kesihatan pekerja juga perlu diberi keutamaan. Anggota perlu merasakan bahawa tempat kerja itu ‘syurga dunia’.

Disiplin

Berdisiplin bermakna mematuhi peraturan, etika dan sistem nilai yang ditetapkan.  Apabila anggota perkhidmatan mendisiplinkan diri, perjalanan jentera kerajaan akan berjalan lancar.  Tujuan  berdisiplin adalah untuk mengawal kelakuan anggota  supaya sempurna dan bersesuaian dengan kedudukan penting mereka di dalam masyarakat.  Imej sesuatu perkhidmatan terletak pada tahap disiplin yang dipamerkan oleh anggotanya. Perkara ini telah dibincangkan dalam nilai perkhidmatan penyayang

 Peraturan Tatatertib adalah peraturan-peraturan yang dipersetujui oleh sesuatu kumpulan atau organisasi bagi mewujudkan suasana aman, tenteram dan menjamin keharmonian ahli-ahlinya.  Peraturan ini diwujudkan bagi mengawal tingkahlaku atau disiplin anggota awam dengan harapan ia dapat menghasilkan pegawai yang cekap, jujur dan berkesan.

Apa yang penting dalam disiplin diri adalah anda dapat menjalankan tugas mengikut peraturan jabatan yang telah ditetapkan. Anda perlu bertanya pada diri anda beberapa soalan iaitu:
(i)          Di dalam tempoh waktu bekerja, berapa jam sebenarnya anda bekerja?
(ii)         Di dalam menjalankan tugas harian, apakah perkara yang telah dilakukan sehingga terjadinya pembaziran?
(iii)        Di sepanjang perkhidmatan anda, ada atau tidak anda menggunakan hak jabatan untuk kepentingan diri.
Apabila kita mengetahui selok-belok peraturan, kita akan dapat mengelakkan rasa takut untuk menjalankan tugas kerana kita tahu batas-batas bidang kuasa kita. Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam melaksanakan tugas.


Cara yang terbaik

Melakukan sesuatu pekerjaan dengan ‘cara terbaik’ adalah ciri penting bagi profesionalisme. Seseorang itu boleh dianggap sebagai telah menjalankan tugas dengan ‘cara terbaik’ apabila ia melakukan kerja dengan pantas tanpa menjejaskan kualiti kerja. Untuk membolehkan seseorang itu mencapai tahap bekerja dengan ‘cara terbaik’, ia mestilah mempunyai sikap inginkan peningkatan diri, ingin berada pada tahap yang terbaik dan sentiasa berusaha ke arah peningkatan yang berterusan.

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk membolehkan anda melakukan pekerjaan dengan ‘cara terbaik’. Antaranya adalah dengan mengamalkan konsep ‘cost effective’. Penggunaan konsep sebegini memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut. Sehubungan itu, kecekapan atau kepakaran memainkan peranan penting dalam profesionalisme.

Seorang yang profesional mestilah membuat sesuatu pekerjaan dengan cara yang terbaik bagi menghasilkan mutu kerja yang berkualiti. Dia harus menggunakan sumber-sumber yang ada iaitu wang, masa dan tenaga manusia dengan cara yang efektif. Sumber-sumber tidak seharusnya dibazirkan.  Ini akan hanya terlaksana, jika dia mempunyai pengetahuan dan kemahiran.  Oleh yang demikian, seorang yang profesional perlu sentiasa menambah dan mengemaskinikan pengetahuan dan kemahirannya.

Dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau memilih sesuatu projek, seseorang yang mengamalkan prinsip profesionalisme akan memilih cara yang terbaik. Ini dapat dilakukan dengan bertanyakan beberapa soalan:
(i)          Ada tak option lain yang belum saya fikirkan?
(ii)         Di antara option ini, yang manakah yang boleh menjana hasil yang banyak?
(iii)        Bagi setiap option, berapakah peruntukkan kewangan dan sumber manusia yang diperlukan?
(iv)       Option mana yang paling banyak penjimatan?
(v)        Option mana yang anda merasa selesa untuk melaksanakannya dan yakin untuk menyempurnakannya kerana sudah ada kemahiran?
(vi)       Di antara option ini, yang manakah yang boleh mendapat pertolongan atau kerjasama dari agensi lain?
(vii)      Bagi setiap option, berapa tempoh masa yang perlu bagi menyiapkannya?

Apabila anda telah menjawab soalan di atas, anda bolehlah memilih option yang terbaik.


Etika kerja

Etika boleh dimaksudkan dengan mudah sebagai tanggungjawab dan tingkahlaku seseorang terhadap masyarakat. Seseorang anggota  berkewajipan memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilaku seseorang pekerja dalam kerajaan.

Dari segi definisinya, etika kerja adalah prinsip-prinsip moral yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi bagi mengawal tingkah laku pekerja atau ahli organisasi tersebut.  Etika ini adalah satu bentuk kawalan bagi memastikan perlakuan pekerja sentiasa selaras dengan sistem nilai organisasi berkenaan.  Melalui prinsip-prinsip yang dinyatakan di dalam etika kerja, seseorang akan dapat mengetahui perbuatan-perbuatan yang dilarang dan perbuatan-perbuatan yang digalakkan.  Pada umumnya, etika kerja dibentuk berdasarkan nilai-nilai universal yang kemudiannya disesuaikan dengan lunas undang-undang negara, sistem nilai masyarakat setempat dan peraturan-peraturan tertentu yang ditetapkan oleh organisasi.

etika kerja adalah unsur yang sangat mustahak yang perlu dititikberatkan kerana setiap pekerja perlu memiliki tingkah laku yang sempurna seperti yang dikehendaki oleh masyarakat.  Secara umumnya perbuatan-perbuatan atau tingkah laku seseorang itu dikatakan tidak beretika apabila:
(a)        Perbuatan tersebut melanggar undang-undang negara dan boleh dikenakan hukuman;
(b)        Apabila perbuatan itu bercanggah dengan prinsip-prinsip moral dan etika yang diamalkan oleh masyarakat; dan
(c)         Apabila perbuatan itu dilakukan bukan atas tujuan awam sebaliknya disebabkan oleh tekanan-tekanan seperti kepentingan keluarga, politik, agama atau suku kaum.

Terdapat perbezaan diantara disiplin dan etika kerja. Disiplin adalah  berkaitan dengan peraturan jabatan, manakala etika kerja adalah berkaitan dengan masyarakat secara umumnya. Seorang anggota yang tidak pernah memberikan senyuman kepada pelanggan, boleh dikatakan tidak beretika dari kacamata masyarakat tetapi tidak boleh diambil tindakan tata tertib kerana tidak melanggar disiplin jabatan.



Taraf Kerja

Taraf kerja boleh diertikan seperti norma kerja iaitu hasil sesuatu pekerjaan itu mesti mencapai `standard’ atau taraf yang dikehendaki.  Taraf ini adalah yang minimum dan setiap anggota digalakkan untuk menghasilkan pekerjaan yang melebihi taraf.  Taraf di sini bukan saja bermaksud dari segi kuantiti dan kualiti, tetapi juga dari sudut cara melaksanakan tugasnya.  Sebagai perumpamaan seorang pembantu kedai dikehendaki melihat sekurangnya  2 kali pemeriksaan stok kedai dalam sehari dengan membuat pemeriksaan bersesuaian dengan keperluannya dengan cara-cara yang tidak bercanggah dengan tugasan kerjanya.   


Bagi menghasilkan pekerjaan yang melebihi taraf, seseorang pekerja itu mestilah tekun dan seronok bekerja.  Di tambah pula dengan bakat yang selalu di asah dan perasaan suka mencipta perkara-perkara baru untuk menpercepatkan proses kerja.

Penghasilan kerja yang melebihi taraf boleh dilakukan secara berterusan sekiranya ia mempunyai ketinggian peribadi, keutamaan kesabaran, kemuliaan kesederhanaan dan kebijaksanaan berhemat. Malah satu organisasi boleh mencapai taraf kerja yang dikehendaki sekiranya mereka menunjukkan teladan yang baik. 

Setiap anggota mesti mengetahui norma kerjanya. Jika tidak, bebanan kerja akan meningkat, produktiviti dan kualiti jabatan akan terjejas. Taraf kerja ini adalah selalunya `standard’ yang minimum yang perlu dihasilkan. Semua anggota adalah digalakkan untuk meningkatkan taraf kerja melalui produktiviti. Ianya boleh dilaksanakan dengan mengamalkanan tonggak dua belas. Perlu ditegaskan, dalam peningkatan



Pengetahuan dan kemahiran untuk mencapai matlamat dan objektif pasukan.



Pasukan memerlukan kemahiran yang luas dan pelbagai untuk mencapai matlamat dan objektif pasukan. Sebagai ahli di dalam pasukan, anda akan dapat membantu pasukan berfungsi dengan efektif melalui sumbangan dalam bentuk :
                                                                   i.    kemahiran teknikal;
                            ii.    kemahiran pengurusan dan penyelesaian masalah; serta
                          iii.    kemahiran antara perseorangan (interpersonal)
            
Kita boleh membentuk dan memperbaiki kemahiran melalui beberapa kaedah seperti :
                             i.    menjalankan kerja dengan sendiri;
                            ii.    menjalankan kerja di bawah pengawasan orang lain;
                          iii.    dengan membaca;
                          iv.    dengan memerhati bagaimana orang lain menjalankannya;
      v.    dengan mengingati kembali tentang bagaimana kita telah menjalankannya dahulu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengetahuan adalah asas bagi mencapai kemahiran. Tanpa ilmu pengetahuan seseorang itu tidak dapat menjiwai kerja yang sedang dibuatnya. Seseorang pekerja itu perlu tahu mengapa dia melakukan pekerjaan itu. Seseorang itu tidak boleh dianggap profesional jika setiap hari dia bekerja seperti robot.

Seseorang pekerja yang mempunyai ilmu asas yang diperolehi semasa di sekolah, maktab atau universiti akan mendalami kemahirannya apabila dia mula bekerja. Satu ketika nanti, kemahirannya akan mencapai tahap maksima bersesuaian dengan pengetahuan yang dimiliki. Oleh yang demikian dia perlu mempertingkatkan lagi pengetahuan dan kemahirannya supaya mutu kerjanya bertambah baik. Ini boleh dilaksanakan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Secara langsung adalah seperti menghadiri kursus, bengkel, seminar dan lain-lain lagi, manakala secara tidak langsung adalah seperti melibatkan diri dalam aktiviti jabatan iaitu jawatankuasa Hari Q, projek penyelidikan dan lain-lain.

Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi perlu dipraktikkan, jika tidak ianya tidak berguna. Untuk menjadikan  ilmu yang diperolehi berkekalan di dalam dada, ilmu itu  perlu diajar kepada orang lain. Hanya dengan mengajar kepada orang lain kita akan ingat lama. Jangan jadi seperti sesetengah guru silat yang tidak mahu mengajar satu dua ilmu kepada murid kerana takut muridnya nanti akan ‘lawan tauke’. Ilmu yang di ‘simpan’ lambat laun akan luput dari ingatan.

Ilmu juga perlu senantiasa ditambah, bak kata orang, “kalau perut lapar, makan, kalau otak lapar….. tambah ilmu”. Seorang yang profesional perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuannya memandangkan perubahan dunia era ini terlalu dinamik. Kita mesti ingat, kita hanya perlu mencari pengetahuan yang relevan dan bersesuaian saja, khususnya untuk memenuhi kehendak pelanggan.

Pembelajaran merupakan suatu proses yang berterusan. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa kita sentiasa berpengetahuan dan mahir di dalam menjalankan tugas harian. Jika tidak, ada orang yang akan menderita di atas kesilapan kita.


Kreativiti dan inovasi

Seseorang itu boleh dikatakan kreatif jika dia boleh menjana perkara-perkara yang baru. Inovasi pula adalah idea-idea baru dalam semua aspek untuk menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.

Kita sentiasa mengatakan bahawa kita bukanlah seorang yang kreatif. Adakah ini benar? Sebenarnya tidak semua orang menyedari bahawa mereka mempunyai tahap kreativiti yang tinggi. Semua orang kreatif samada di sedari atau tidak. Semasa kecil, kita sememangnya semula jadi kreatif. Apabila membesar dan menjadi dewasa, kita sering dicegah jangan buat itu ….. jangan buat ini. Ibubapa kita sering melarang kita supaya jangan panjat pokok atau jangan conteng dinding dan sebagainya. Apabila bekerja, kita juga dikehendaki mematuhi peraturan. Ini boleh menyekat daya kreativiti.

Kreativiti adalah proses yang ditemui atau dijumpai. Melalui fikiran yang terbuka (minda) sahaja barulah kita dapat berfikir samada setiap penerimaan atau perjumpaan tersebut adalah bernilai. Kreativiti tidaklah dijumpai secara tidak sengaja. Sebenarnya ia sudah berada di situ. Cuma kita tidak prihatin, tidak melihatnya, tidak menilai dari segi komersial dan kepentingannya.

Kreativiti ini digalakkan oleh sikap yang terbuka. Kita sentiasa berfikir bahawa kreativiti ini adalah mempunyai idea-idea yang hebat, idea-idea yang datang seperti nilai, ‘aha’ tetapi sebenarnya ia melibatkan perkara–perkara yang lebih jauh daripada itu. Selain daripada itu ia melibatkan banyak pemikiran samada secara sedar ataupun tidak sedar. Sebelum sesuatu inspirasi itu timbul, idea-idea baru perlulah diekspresikan. Oleh itu ia perlu diberi lebih ruang di mana ia mungkin memakan masa dan memerlukan penglibatan kerja yang bersungguh-sungguh.

Dalam ertikata yang lain bahawa kreativiti sebenarnya adalah belajar melihat sesuatu benda itu dengan mata yang baru. Itu adalah petikan daripada seorang genius seperti Dr. Marcel Proust dalam tahun 1899. Beliau merupakan seorang saintis dan juga ahli dalam kreativiti di mana beliau percaya bahawa kita perlu melihat sesuatu perkara tersebut bukan sahaja kepada satu skop atau ‘angle’ tetapi melihat sesuatu masalah tersebut dari pelbagai bidang, barulah kita dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan melihatnya dari perspektif yang berbeza. Apabila kita dapat mengenalpasti sesuatu masalah itu maka kita perlu menilainya daripada banyak segi sebelum memikirkan tentang jawapannya.

Kita semua, kadangkala mendapat inspirasi atau ilham bagi sesuatu perkara atau menyelesaikan sesuatu masalah. Perkara ini tidak selalu berlaku kepada orang biasa macam kita. Oleh itu kita perlu belajar bagaimana menjadi kreatif. Berikut ada beberapa teknik :

(i)          Mind mapping;
(ii)         Random responses;
(iii)        Group Creativity.

Pasukan perlu lebih kreatif untuk mengurus perubahan dan mengadakan persaingan. Semua ahli dalam pasukan boleh menjadi kreatif dan inovatif dengan:
                     i.        menerapkan perasaan ingin tahu dan berfikiran luas;
                    ii.        mempunyai ketua yang sentiasa memberi sokongan;
                  iii.        mempunyai peraturan dan garis panduan yang fleksibel;
                  iv.        bersemangat cekal serta tidak putus asa apabila berhadapan dengan cabaran/dugaan;
                   v.        diberi penghargaan dan pengiktirafan.
       
Sebagai ahli dalam pasukan, kita harus sedar dan perlu mengatasi beberapa rintangan/halangan kreativiti seperti :
                     i.        perasaan takut terhadap kegagalan atau ke atas sesuatu yang tidak pasti;
                    ii.        takut akan dikritik;
                  iii.        kritikan yang tidak membina;
                  iv.        terlalu menjaga kepentingan diri sendiri;
                   v.        takut akan kerja-kerja tambahan;
                  vi.        komunikasi satu arah;
                vii.        perlunya mematuhi arahan/peraturan.

Kerjasama dalam pasukan dan kesepakatan.

Kerjasama adalah bekerja bersama-sama untuk mencapai matlamat yang dikongsi bersama di samping memperolehi faedah bersama.

Terdapat banyak pasukan di dalam agensi kerajaan dan swasta dimana pasukan-pasukan ini bergantung antara satu sama lain. Kerjasama dalam satu pasukan mudah diwujudkan tetapi kerjasama antara satu pasukan dengan pasukan yang lain selalunya sukar. Ini adalah kerana setiap pasukan mempunyai ketua yang berlainan. Ketua-ketua ini mempunyai agenda yang berlainan. Sekiranya ketua-ketua ini tidak sehaluan, maka  pasukan-pasukan ini tentunya tidak dapat bekerjasama.

Kita mesti sedar bahawa kita bukan bekerja semata-mata untuk pasukan tersebut, tetapi kita bekerja untuk organisasi tersebut. Walaupun pasukan tersebut telah menunjukkan prestasi yang cemerlang, tetapi organisasinya telah merosot, orang luar akan mengatakan anggota-anggota di situ tidak bagus (termasuk mereka yang cemerlang). Oleh yang demikian, setiap pasukan di dalam satu organisasi mesti bantu membantu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi.


Organisasi tersebut juga tidak bekerja bersendirian, ia bergantung kepada organisasi lain di dalam organisasi berkenaan. Sehubungan itu setiap organisasi mesti bantu membantu di dalam meningkatkan imej organisasi. Jika satu pejabat telah mendapat malu, orang ramai akan beranggapan bahawa pejabat atau cawangan lain di bawah agensi atau firma berkenaan lebih kurang sama sahaja.

Amalkan etiket sosial.


Budaya kita mempunyai beberapa perkara dan perlakuan yang menunjukkan tanda hormat pada orang lain. Sebagai contoh, sejak kecil, kita diasuh tentang cara dan perkataan yang boleh digunakan untuk memanggil dan berinteraksi dengan orang lain secara hormat. Kita juga mendidik anak-anak kita tentang norma masyarakat. Semuanya ini adalah etiket sosial.

Salah satu etiket sosial yang perlu diamalkan semasa menjalankan tugas ialah cara kita memanggil pelanggan dan cara kita menyapa orang lain apabila bertemu. Dengan berpandukan kepada umur dan perawakan pelanggan, panggilan adik, saudara, kakak, mak cik, puan, encik atau sir dapat menunjukkan kemesraan dan tanda hormat. Juga dengan berpandukan masa pada waktu itu, ucapan selamat pagi, selamat tengah hari dan selamat petang dapat menunjukkan tanda hormat menghormati. Bagi orang-orang Islam, mengucapkan salam adalah amalan yang paling baik.

Satu lagi etiket yang yang patut kita amalkan untuk menunjukkan tanda hormat ialah dengan memanggil nama pelanggan secara lembut. Kajian-kajian mendapati bahawa manusia amat responsif kepada nama masing-masing. Di samping itu, cuba kita sebutkan nama pelanggan/pesakit dengan betul. Amat baik jika kita memanggil pelanggan serta namanya dengan cara biasa supaya perlakuan kita itu nampak mesra, jujur dan penuh hormat.

Kerja Berpasukan

Amalan perkhidmatan penyayang banyak melibatkan interaksi antara anggota kesihatan dengan pelanggan. Mengamalkan nilai ini saja tidak mencukupi kerana di dalam menjalankan satu kerja, ianya melibatkan banyak tugas-tugas kecil. Tugas-tugas ini mungkin dijalankan oleh anggota yang berlainan. Oleh itu anggota-anggota perlu bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu kerja. Kerja berpasukan bermaksud bekerja bersama dengan harmoni bagi mencapai matlamat yang sama.

Apakah faedah yang boleh anda perolehi melalui kerja berpasukan?

Bekerja bersama-sama di dalam pasukan bagi mencapai kejayaan mempunyai beberapa faedah kepada individu di mana :
Ø Tekanan kerja adalah kurang.
Ø Tanggungjawab dikongsi bersama.
Ø Pengetahuan dan kemahiran dapat dipertingkatkan.
Ø Perasaan harga diri dapat dipupuk.
Ø Kejayaan dan kegagalan dapat dikongsi bersama.
Ø Ahli-ahli dalam pasukan dapat belajar di antara satu sama lain.
Ø Setiap ahli mempunyai semangat kekitaan.
Ø Bekerja bersama dalam pasukan adalah menyeronokkan.
       
Kerja berpasukan adalah lebih berkesan sekiranya elemen-elemen serta proses kerja berpasukan difahami dan dilaksanakan. Lapan elemen dalam kerja berpasukan adalah :
1.   Bersatu menuju matlamat
2.   Perasaan kekitaan
3.   Kepimpinan
4.   Saling mempercayai
5.   Akauntabiliti
6.   Pengetahuan dan kemahiran
7.   Kreativiti/Inovasi
8.   Kerjasama dalam pasukan dan kesepakatan

Bersatu menuju matlamat

Dalam sesuatu organisasi, sekiranya setiap anggota mempunyai matlamat yang berbeza, organisasi tersebut pasti tidak akan dapat mencapai objektifnya. Oleh itu setiap organisasi perlu mewujudkan matlamat dan objektif yang dikehendaki dan menyebarkan kepada semua anggota. Apa yang mustahak bukanlah penyebarannya saja tetapi memahami matlamat dan objektif tersebut. Masalah yang selalu kita hadapi adalah kita tidak ingat akan objektif jabatan. Sebagai contoh, cuba anda senaraikan objektif-objektif jabatan anda. Tentu anda tidak ingat kerana sudah lama tidak mengulanginya. Tambahan pula, ada kerja yang anda buat adalah ad-hoc dan tidak tersenarai dalam objektif.

Setiap ahli dalam pasukan boleh bersatu menuju matlamat sekiranya matlamat dan objektif yang hendak dicapai disampaikan dan difahami oleh semua ahli di dalam pasukan.
          
Bagaimana boleh kita sentiasa bersatu menuju matlamat? Pertama, dari masa ke semasa, ketua jabatan perlu mengingatkan kembali tentang matlamat dan objektif-objektif jabatan. Ini dapat dilakukan semasa perhimpunan bulanan atau mesyuarat ketua-ketua unit. Kedua, penilaian objektif jabatan hendaklah dilakukan lebih kerap, jangan tunggu sehingga akhir tahun. Sekurang-kurangnya penilaian ini dilakukan dua kali setahun. Ketiga, setiap anggota termasuk anda sendiri, apabila ingin memulakan tugas, perlu berfikir samada kerja yang anda lakukan ini ada berkaitan dengan objektif jabatan atau tidak.

Perasaan kekitaan

Perasaan kekitaan lahir daripada seseorang individu yang merasakan dirinya ada kaitan dengan sesuatu tempat atau organisasi. Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai perasaan cintai Malaysia kerana Malaysia adalah tanahairnya. Begitu juga dengan seorang pekerja yang telah lama berkhidmat dengan sesuatu organisasi. Beliau berasa bangga dengan organisasinya lalu menghebahkan kepada orang ramai. Walaubagaimanapun, sekiranya organisasi tersebut mendapat malu atau dipandang rendah oleh masyarakat, pekerja tersebut seboleh-bolehnya cuba merahsiakan perkara tersebut atau tidak mahu dikaitkan dirinya dengan organisasi itu.

Setiap ahli dalam pasukan berkongsi identiti yang sama dan ini dapat memperkayakan perasaan kekitaan. Perasaan kekitaan pula meningkatkan komitmen ahli pasukan. Komitmen kepada pasukan menggalakkan perasaan kepunyaan dan menghasilkan sikap perkongsian. Perasaan kekitaan boleh dipertingkatkan dengan memberi penekanan bahawa :
·        Setiap ahli boleh memberi sumbangan dan mempunyai peranan yang perlu dimainkan;
·        Setiap ahli adalah merupakan aset kepada pasukan;
·        Kepelbagaian di dalam pasukan tidak menghalang semangat bersatu.

Perasaan kekitaan boleh diperkuatkan dengan mengadakan pakaian seragam dan logo. Pakaian seragam adalah bergantung kepada jenis pekerjaan. Selain itu, setengah agensi/jabatan ada juga mempunyai pakaian tidak formal iaitu pakaian batik.

Bagaimanakah anda boleh menanamkan perasaan kekitaan di dalam diri anda? Pertama, anda perlu yakin bahawa anda adalah seorang anggota bekerja. Kedua, anda harus percaya bahawa tugas anda adalah murni iaitu membantu orang lain yang memerlukan bantuan terutamanya pesakit, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ketiga, anda mesti memaksa diri anda suka memakai pakaian seragam yang berkaitan dengan pekerjaan anda. Keempat, anda bekerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan imej jabatan anda.

Kepimpinan

Kepimpinan bererti berupaya merangsang penghasilan yang terbaik dari seseorang serta boleh memberi panduan bagi mencapai matlamat yang sama. Kepimpinan yang berkesan adalah perlu bagi memastikan komitmen ahli dan menentukan arah tujuan untuk mendapatkan hasil.

Setiap seorang daripada kita adalah pemimpin walaupun kita hanya merupakan atendan hospital. Seorang pengarah jabatan tentu mempunyai ramai anggota yang perlu dipimpin sementara pembantu pejabat mempunyai anak isteri yang perlu dipimpin. Oleh yang demikian, setiap orang adalah bertanggungjawab ke atas siapa yang mereka pimpin. Ini bermakna seorang ketua perlu bertanggungjawab jika telah memberi arahan yang salah kepada anggotanya.

Bagaimanakah kita boleh menjadi seorang pemimpin yang baik? Yang pertama dan paling penting adalah sikap bertanggungjawab. Sebagai satu analogi, kita mengangkat hujung sebatang kayu, hujung yang satu lagi akan terangkat juga. Ini bermakna setiap tindakan yang kita ambil akan menghasilkan akibatnya. Oleh itu seorang pemimpin mesti bertanggungjawab di atas segala akibat yang terhasil sama ada positif ataupun negatif.

Sifat kedua yang  penting bagi seseorang pemimpin adalah untuk mempengaruhi orang lain. Bukan mudah untuk mempengaruhi seseorang. Secara ringkasnya, kita perlu menyelam ke dalam hati untuk mengetahui apakah kehendaknya. Jika apa yang ingin kita kemukakan kepadanya adalah selaras dengan kehendaknya, dia akan menerima apa yang kita kehendaki. Walau bagaimanapun ia bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh yang demikian, kalau kita ingin mempengaruhi orang lain, cuba langkah-langkah berikut:
         i) Dipercayai ramai
         ii) Memahami hati orang (empati)
         iii) Memahami kehendak orang
         iv) Memberitahu faedah yang akan diperolehi

Sifat ketiga adalah berpengetahuan terutamanya tentang matlamat pasukan. Pengetahuan dan kemahiran akan dibincangkan kemudian.

Saling mempercayai

Sifat percaya bererti mempunyai keyakinan ke atas kewibawaan dan keupayaan ahli-ahli dalam pasukan. Kepercayaan adalah asas pembinaan pasukan. Sikap mempercayai adalah perlu untuk kerjasama yang berpanjangan. Tanpa kepercayaan, konflik akan berlaku.

Bagaimana anda boleh melahirkan sifat saling mempercayai di antara satu sama lain di dalam pasukan anda? Terlebih dahulu, anda harus mempamerkan sifat ini. Bagaimana harus dilakukan? Cuba anda bayangkan jika semua emosi boleh disimpan di dalam sebuah bank. Jika banyak  emosi yang kita simpan di dalam bank, maka semakin bertambah jumlah emosi di dalam akaun kita. Jika kita keluarkan emosi dari bank, maka berkuranglah jumlah emosi kita di dalam akaun. Begitu juga dengan sifat saling mempercayai. Kalau kita selalu membuat perkara baik atau tidak pernah bercakap bohong terhadap orang lain, orang akan percaya kepada kita. Tetapi apabila kita melakukan sesuatu yang tidak baik kepada orang lain, mereka mula kurang percaya kepada kita. Jika kita selalu melakukan yang tidak baik, maka kepercayaan mereka terhadap anda akan hilang. Sehubungan itu, untuk mempamerkan sifat saling mempercayai, anda perlu memperolehi kepercayaan daripada orang lain dengan melakukan perkara-perkara yang baik terhadap mereka.


Akauntabiliti

Akauntabiliti merangkumi sikap bertanggungjawab  setiap ahli  atas kejayaan atau kegagalan pasukan. Setiap ahli bertanggungjawab ke atas semua sumbangan kepada pasukan, samada sumbangan individu atau sumbangan bersama.

Akauntabiliti di dalam konteks budaya korporat bukan  sekadar bertanggungjawab, tetapi termasuk juga tindakan yang diambil bagi membetulkan keadaan.

Jika seseorang itu ingin mempunyai sifat akauntabiliti, beliau terlebih dulu perlu bersikap bertanggungjawab. Kita selalunya akan bersikap bertanggungjawab sekiranya perkara tersebut adalah peribadi. Tetapi sekiranya perkara tersebut berkaitan dengan urusan pejabat, masing-masing cuba melepaskan diri atau cuba meletakkan kesalahan ke atas orang lain. Tiada siapa yang ingin bertanggungjawab. Akhirnya perkara ini dibiarkan begitu sahaja sehinggalah ada orang membuat aduan ataupun ia telah menjadi isu besar.

Perkara di atas boleh dicegah sekiranya setiap ahli adalah pasukan yang bertanggungjawab di atas kesilapan yang telah berlaku. Tidak semestinya seorang ketua sahaja yang mesti bertanggungjawab kerana setiap ahli pun sedikit sebanyak terlibat juga. Oleh itu semua ahli mesti mempunyai sifat bertanggungjawab.

Sekiranya anda telah mengambil tindakan bagi memperbetulkan keadaan, anda bukan sahaja seorang yang bertanggungjawab tetapi telah menonjolkan sifat akauntabiliti. Lakukan perkara di atas bagi setiap situasi yang anda hadapi, anda akan dapati anda akan menjadi seorang yang matang dalam kehidupan.